Wednesday, May 16, 2012

Ruang Dwi-fungsi

Walaupun tidak dapat saya buktikan secara statistik, saya percaya 90% rumah dan kediaman di bandar-bandar besar di Malaysia terutama di Kuala Lumpur menggunakan konsep dwi-fungsi di dalam setiap penataan ruang dan susunan hiasan dalaman serta perabot.

Apabila wujud ruang dwi-fungsi, banyak perkara perlu dititikberatkan agar ruang menjadi selesa dan sesuai dengan setiap fungsinya.

Berikut adalah dua contoh perkara yang diambilkira ketika menghias ruang dwi-fungsi:

1) Ruang tamu / ruang menonton televisyen
Ruang ini adalah ruang keluarga dan menjadi ruang tamu ketika terdapat tetamu di rumah. Oleh itu, sofa yang dipilih mestilah memenuhi kedua-dua fungsi ruang tersebut. Sofa berbentuk L yang empuk mungkin sesuai kerana sofa jenis ini lebih selesa ketika menonton televisyen, lebih luas bagi seisi keluarga bersantai dan juga sesuai ketika menyambut tetamu. Sofa ini juga boleh diubah dan dialih-alih bergantung kepada kesesuaian aktiviti di ruang tersebut. Selain Sofa berbentuk L, 'sofa bed' juga amat sesuai, terutama jika sesebuah rumah tidak mempunyai bilik untuk tetamu.

2)Bilik tidur / bilik bekerja
Bilik tidur dan bilik bekerja seandainya digabungkan hendaklah mengambilkira kesan pencahayaan di dalam ruang bilik tersebut. Idea di bawah boleh digunakan bagi menghasilkan cahaya yang sesuai di dalam bilik, bergantung kepada fungsi ruang yang digunakan.

Suluhan ke dinding bagi mendapatkan kesan yang sama dengan lampu tidur. Gaya suluhan ini juga boleh digunakan sekiranya ingin menyerlahkan lukisan / hiasan di dinding.

Suluhan cahaya ke atas / siling menghasilkan cahaya berbalik yang menerangi keseluruhan ruang bilik. Cahaya jenis ini juga tidak terlalu kuat dan menyakitkan mata.

Fokus pencahayaan ketika membaca / ketika menggunakan ruang kerja
Fokus pencahayaan di ruang dwi-fungsi amat penting agar setiap aktiviti yang dilakukan tidak mengganggu penghuni yang lain.

Apabila berada di rumah, dua bahagian di dalam rumah yang menjadi kegemaran saya ialah di ruang tamu / ruang menonton televisyen & di bilik tidur / bilik bekerja. Apakah ruang dwi-fungsi kegemaran anda?

2 comments: